Pemilik restoran Hameeds Corner hadapi lima pertuduhan Akta GST 2014

 

 

Rilekslah
Malaysian Social Media Trendsetter

Pemilik restoran Hameeds Corner hadapi lima pertuduhan Akta GST 2014
5/25/2015 12:01:34 PM

Pemilik restoran Hameeds Corner hadapi lima pertuduhan Akta GST 2014

PEMILIK Restoran Hameeds Corner Seksyen 16 di sini Rajabunesah Bagam Kamarudeen, 38, (kiri) dan Muhammad Peer Abdullah, 35, didakwa di Mahkamah Sesyen bagi pertuduhan mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014 hari ini.
Mereka mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan mengeluarkan kira-kira 2,000 keping invois bercukai yang tidak mengandungi butiran ditetapkan mengikut Seksyen 22 Peraturan-Peraturan GST 2014. Foto – BERNAMA

SHAH ALAM: Dua pemilik Restoran Hameeds Corner di sini hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan mengeluarkan kira-kira 2,000 keping invois cukai tidak mengandungi butiran ditetapkan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Rajabunesah Bagam Kamarudeen, 38, dan Muhammad Peer Abdullah, 35, menghadapi pertuduhan itu selepas Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid melepas dan membebaskan Restoran Hameeds Corner daripada lima pertuduhan yang sama.

Hakim memutuskan sedemikian selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Hazril Harun menarik balik semua pertuduhan ke atas restoran itu.

Restoran Hameeds Corner yang dihadapkan ke mahkamah pada 30 April lalu adalah pihak berdaftar di bawah Akta GST yang pertama menghadapi pertuduhan di bawah akta itu sejak dilaksanakan 1 April lalu.

Rajabunesah Bagam dan Muhammad Peer selaku orang kena saman mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan sebagai orang berdaftar di bawah Akta GST yang membuat pembekalan bercukai, sudah mengeluarkan kira-kira 2,000 keping Invois Cukai yang tidak mengandungi butiran ditetapkan mengikut Seksyen 22 Peraturan-Peraturan GST 2014.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan semua kesalahan di premis restoran di No.3-1-1, Suria Avenue Apartment 16/2, Seksyen 16 di sini dari 7 April hingga 11 April lalu mengikut Seksyen 33 (2) (b) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Azhari membenarkan Rajabunesah Bagam dan Muhammad Peer dibebaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan dan menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Hazril mencadangkan agar kedua-dua pemilik restoran berkenaan dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan.

Peguam S Selvam yang mewakili Rajabunesah Bagam dan Muhammad Peer bagaimanapun berkata tiada keperluan untuk membangkitkan isu jaminan berikutan kes dihadapi kedua-dua anak guamnya ialah kes saman.

Beliau berkata jika mahkamah cenderung untuk membenarkan ikat jamin, pihaknya mencadangkan kedua-dua anak guamnya dibebaskan dengan bon jaminan RM2,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan.

Selvam dalam pada itu turut membantah pertuduhan yang dikenakan ke atas kedua-dua anak guamnya atas alasan pertuduhan itu pramatang.

"Pohon mahkamah rujuk kenyataan akhbar Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong dan Pengarah Bahagian GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk T Subromaniam sebelum ini yang memberitahu mana-mana peniaga yang masih belum pasang sistem pengkomputeran 'tempat jual (POS) diberi tempoh hingga 30 September ini.

Sistem ini berkaitan dengan pertuduhan ke atas anak guam saya dan jelas ia pramatang kerana tarikh pertuduhan adalah antara 7 hingga 11 April sedangkan pihak kerajaan sudah beri tempoh hingga 30 September ini," katanya.

Menjawab bantahan itu, Raja Rozela berkata kedua-dua kenyataan akhbar itu tidak relevan dalam kes ini berikutan Chua dan Subromaniam bukan pihak pendakwa raya dan tiada apa-apa yang boleh menghalang tuduhan dibuat ke atas kedua-dua pemilik restoran itu.

"Peguam juga tidak mengemukakan mana-mana peruntukan di bawah undang-undang bagi menyokong dakwaan beliau bahawa tuduhan ini adalah pramatang. Dakwaan peguam tiada asas dan pohon bantahannya ditolak," katanya.

Hakim Ahmad Azhari membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menolak bantahan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir, Selvam memberitahu pihaknya akan memfailkan semakan berhubung pertuduhan dan isu jaminan ke atas anak guamnya di Mahkamah Tinggi pada minggu ini. – BERNAMA

Comments

comments

 

You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

0 Komentar untuk "Pemilik restoran Hameeds Corner hadapi lima pertuduhan Akta GST 2014"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info