Mayat dipercayai kru kapal korek karam ditemui – APMM


Mayat dipercayai kru kapal korek karam ditemui – APMM





USAHA menarik badan kapal korek yang karam dengan bantuan kapal tunda Jabatan Laut semalam. – Foto BERNAMA


JOHOR BHARU: Gerakan mencari dan menyelamat kru kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Pengerang, hari ini menemui satu mayat, dipercayai seorang daripada 14 mangsa.


Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas, berkata mayat lelaki yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu, ditemui terapung pada 3.45 petang di kedudukan 14 batu nautika dari lokasi kejadian.


“Mayat yang belum dapat dikenal pasti kewarnegaraannya itu telah dijumpai hasil maklumat yang diberikan kapal Kanata Spirit yang ternampak mayat di kawasan terbabit.


“Mayat itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Operasi mencari dan menyelamat pada hari ketiga diperluaskan ke kawasan berkedudukan 15 batu nautika dari tempat kejadian berbanding hanya lapan batu nautika semalam.


Tumpuan turut diberikan ke atas usaha mencari dan menyelamat mangsa yang berkemungkinan terperangkap dalam perut kapal, selepas dipercayai tidak sempat melakukan apa-apa sewaktu kejadian berlaku.


Mustafa berkata, 18 penyelam daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditugaskan untuk melakukan penyelaman ke dalam perut kapal.


“Bagaimanapun, setakat 4 petang tadi, tiada penyelam yang berjaya memasuki bahagian itu ekoran arus air yang kuat,” kata Leftenan Mohammad Noor, pegawai TLDM yang mengetuai penyelaman berkenaan kepada BERNAMA.


“Keadaan air yang gelap berserta arus laju dan terdapat minyak dalam bahagian kapal menyukarkan pasukan kami untuk masuk. Pun begitu, kami sempat melakukan kerja-kerja penandaan di sekeliling kapal,” katanya sambil menambah mereka juga dibekalkan empat tong oksigen yang mampu bertahan selama tiga jam bagi kawasan air sedalam 10 hingga 15 meter.


Operasi mencari dan menyelamat kini masih diteruskan sehingga 7 malam ini untuk mencari baki 13 lagi mangsa yang hilang, sebelum disambung pada pukul 7 pagi esok.


-BERNAMA

0 Komentar untuk "Mayat dipercayai kru kapal korek karam ditemui – APMM"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info