Rilekslah |
Malaysian Social Media Trendsetter |
Kemudahan jalur lebar lebih baik di pinggir bandar
5/31/2015 9:24:32 AM
PUSAT Internet 1Malaysia, Peramu Jaya 3. – Foto Luqman Hakim Zubir
PADANG BESAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyediakan kemudahan internet atau jalur lebar lebih baik untuk dinikmati oleh penduduk pinggir bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata kemudahan berkelajuan antara 20 hingga 100 megabit sesaat itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Kerajaan memberi komitmen terhadap projek ini selain memenuhi tuntutan masyarakat pinggir bandar yang memerlukan akses jalur lebar untuk bergerak seiring dengan kawasan bandar," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Ekonomi dan Kepenggunaan peringkat Parlimen Padang Besar di Pusat Koreksional Perlis di sini, hari ini.
Jailani berkata, sebanyak 1,000 menara baharu dirancang dibina dalam RMK11 membabitkan tiga fasa pembinaan iaitu 400 buah dalam fasa pertama dan masing-masing 300 buah pada fasa kedua dan ketiga.
Katanya, Perlis yang mempunyai 33 menara akan mendapat dua lagi menara dan satu dikenal pasti untuk didirikan di Wang Kelian.
Mengenai Pusat Internet 1Malaysia, beliau berkata kajian menunjukkan peluasan jalur lebar memberi banyak manfaat khususnya kepada masyarakat luar bandar untuk belajar, mendalami dan mengembangkan perniagaan mereka.
"Banyak usahawan baru lahir hasil kewujudan Pusat Internet 1Malaysia. Produk-produk yang dipromosikan juga berkembang termasuk rumpai, cendawan, homestay dan produk tradisional," katanya.
Justeru, Jailani berkata rakyat perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan itu kerana selain berpeluang belajar menggunakan komputer, mereka juga diajar mendalami perniagaan secara dalam talian melalui dua petugas sepenuh masa yang disediakan di pusat tersebut.
Mengenai Seminar Ekonomi dan Kepenggunaan, beliau berkata ia memberi peluang kepada masyarakat dan usahawan kecil untuk mengetahui dasar dan perancangan kerajaan yang boleh direbut oleh mereka.
"RMK11 yang baru dilancarkan memberi penekanan terhadap program pembiayaan supaya pembangunan usahawan secara efektif dan bersepadu dapat digiatkan kerana bidang keusahawanan memberi impak besar terhadap ekonomi negara.
"Peluang-peluang yang terbuka luas dalam bidang automotif, pembinaan, aeroangkasa, pertahanan, perkhidmatan, pendidikan, kesihatan serta minyak dan gas tidak mungkin dapat direbut oleh usahawan Bumiputera andainya mereka tidak didedahkan melalui seminar seumpama ini," katanya.
Jailani, kemudian melawat Pusat Internet 1Malaysia di Sungai Batu Pahat dekat Kangar, serta bertemu kakitangan agensi-agensi di bawah KKMM.
– BERNAMA
Comments
You are receiving this email because you subscribed to this feed at feedmyinbox.com
If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions
0 Komentar untuk "Kemudahan jalur lebar lebih baik di pinggir bandar"