BEIJING – Sambutan Hari Jururawat Sedunia yang berlangsung pada 12 Mei lalu nampaknya turut dijadikan medan terbaik untuk mempromosikan kondom dengan penampilan imej jururawat seksi di China baru-baru ini.
Iklan diterbitkan firma pengeluar alat sarung zakar lelaki yang terbesar di dunia, Durex yang berpusat di Britain itu bagaimanapun tidak disedari sesiapa walaupun disiarkan menerusi laman web tempatan ternama JD.com.
Ironi, penampilan seorang jururawat berpakaian agak ‘nakal’ dengan gaya ghairah itu menerima kritikan ramai netizen dari seluruh China sejurus ia dimuat naik secara tidak sengaja melalui laman media sosial popular Weibo.
Secara kebetulan, iklan itu mula disebarkan seorang doktor dikenali sebagai Wang pada Hari Jururawat Sedunia menerusi akaun Weibo miliknya yang kemudian dikongsi lebih 12,000 pengguna laman sosial tersebut.
Niat pegawai perubatan itu sebenarnya adalah murni iaitu menggalakkan pemakaian kondom bagi tujuan merancang keluarga, namun disalah tafsir sebagai mahu mempromosikan seks bebas dalam kalangan remaja.
Apa tidaknya, gaya model jururawat itu pun dianggap kurang sesuai dengan penampilan imej sopan petugas berkenaan dan lebih aneh, ia kebetulan adalah iklan kondom sempena ulang tahun ke-100 penubuhan Durex.
“Penduduk China tidak peduli jika mereka menggunakan promo seksi, namun penggunaan pakaian seumpama jururawat telah merosak imej baik petugas ini,” kata Wang ketika dihubungi stesen antarabangsa CNN.
“Sebagai seorang doktor profesional, saya meminta pengeluar iklan tersebut untuk meminta maaf secara rasmi kepada ribuan jururawat yang berasa diri mereka diaibkan dengan penampilan kurang sopan itu,” tambahnya.
Setakat ini, CNN melaporkan, pihak pentadbir laman JD.com telah menarik keluar iklan tersebut dan mengkaji kemungkinan untuk tidak menyiarkan bahan promosi sedemikian pada masa depan. – Agensi/H.A.AMREE
0 Komentar untuk "Jururawat ‘Nakal’ Jadi Model Promosi Kondom"