SADONG JAYA – Perlembagaan Persekutuan melindungi semua rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.


Beliau berkata perlembagaan negara juga adalah satu jaminan kepada semua masyarakat mengenai kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan tersebut.


“Kita semua dilindungi di bawah perlembagaan…perlembagaan melindungi semua bangsa dan agama di negara ini, tidak ada bangsa boleh menyatakan dirinya lebih baik dari segi sosial ataupun agamanya lebih baik daripada agama lain,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Program Nemuai ke Rumah Panjai (Program Melawat ke Rumah Panjang) sempena Program Orientasi Pegawai-pegawai Persekutuan Perkhidmatan Awam Sarawak 2015, di Rumah Senangeh di sini hari ini.


Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Sadong Jaya Ir Aidel Lariwoo dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak, Dirwana Azool.


Sebanyak 64 pegawai perkhidmatan awam dari pelbagai jabatan dibawa ke rumah panjang berkenaan bagi memberi kefahaman mengenai adat resam dan cara kehidupan masyarakat Iban menerusi acara kebudayaan seperti ‘Ngajat’, ‘Ngepan’ dan ‘Ngerebah Renyai’.


Sementara itu, Nancy berharap pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dalam program orientasi itu menjadikan pengalaman melihat toleransi antara kaum di Sarawak sebagai satu perkara yang boleh memberi satu pengalaman baharu.


Katanya sikap toleransi dalam kalangan masyarakat perlu ada supaya rakyat negara ini dapat hidup bersama serta bersatu padu.- BERNAMA