SINGAPURA – Biarpun digasak dengan gerakan murtad ke atas Muslim Singapura, penduduk republik itu pada Rabu dikejutkan dengan berita, penganut Islam akan menggantikan Kristian sebagai agama kedua terbesar di negara itu menjelang 2050.


Laporan terkini Pusat Kajian Pew yang berpangkalan di Washington DC, Amerika Syarikat mendedahkan, umat Islam Singapura akan bertambah pesat dan berada di belakang Buddha apabila mencecah rekod 7.9 juta Muslim pada tahun tersebut.


Statistik firma penyelidikan berpengaruh itu mengunjurkan, bilangan orang Islam akan naik daripada 14.3 peratus pada tahun 2010, menjadi 21.4 peratus pada tahun 2050, tetapi Buddha terus menjadi jumlah penganut terbesar di Singapura.


Bilangan penduduk Singapura yang beragama Hindu pula dijangka naik daripada 5.2 peratus kepada 10 peratus atau berkembang hampir sekali ganda pada 2050, sebahagian besarnya ekoran kedatangan penganut Hindu dari India dan Malaysia.


Mengulas laporan tersebut, beberapa penganalisis tempatan namun mempersoalkan andaian pusat kajian itu bahawa corak pemindahan penduduk dari luar Singapura akan berterusan secara konsisten untuk beberapa dekad akan datang.



Bilangan masjid di Singapura masih tidak cukup dan terpaksa ditambah manakala 71 buah sedia ada pula terpaksa diperbesarkan. – Gambar hiasan


Penyelidik kanan Institut Kajian Dasar Singapura, Dr. Mathew Mathews berkata, pemerintah sebelum ini menyatakan mahu mengekalkan imbangan kaum sekarang, malah Muslim dan Hindu di republik itu lazimnya adalah kaum Melayu dan India.


“Jika komposisi kaum kekal sama seperti sekarang ini, tidak mungkin penganut Islam dan Hindu di Singapura akan berkembang pesat, hanya berdasarkan trend nisbah semasa penduduk sedia ada diambil kira,” tegas Mathews.


Komen itu turut dipersetujui Ahli Parlimen Kawasan Berkelompok Choa Chu Kang, Zaqy Mohamad dengan menjelaskan, umumnya kita tidak boleh mengandaikan bahawa mereka yang berpindah dari Malaysia adalah semuanya orang Muslim.


Setakat ini ada 71 buah masjid di seluruh Singapura dan ia kian bertambah sehingga penuh sesak setiap kali ada aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat berbanding 216 buah gereja tetapi kurang menerima sambutan penganut Kristian.


Setiap tahun ramai dilaporkan memeluk Islam meskipun pemerintah Singapura melarang keras pembesar suara dihalakan ke arah luar masjid bagi menyeru azan masuk solat fardu sejak 1974 kononnya mengganggu ketenteraman penduduk majmuk.


Laporan Pew itu juga menyatakan, jumlah mereka yang ada kecenderungan beragama makin tinggi di rantau Asia Pasifik, Amerika Utara dan Eropah tetapi bilangan yang ingin bebas daripada apa-apa agama di rantau Pasifik kian merosot. – Agensi/A.AMREE