Erra Fazira dan Engku Emran berkawan baik demi anak mereka, Engku Aleesya. Foto: Littlestars Photography. |
KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira sedikit tertekan apabila hubungan baiknya dengan bekas suami, Engku Emran disalah anggap sehingga ada yang mahu mereka kembali semula sebagai pasangan suami-isteri selepas bercerai.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 41, berkata hubungan tersebut adalah semata-mata demi membesarkan anak mereka iaitu Engku Aleesya yang kini berusia 6 tahun.
"Saya akui ada sedikit tertekan bila apa yang kami lakukan disalah anggap oleh segelintir masyarakat. Kami masih berbaik adalah semata-mata demi Aleesya dan bukan untuk hidup bersama kembali (sebagai suami-isteri).
"Orang ramai tidak tahu kenapa kita berpisah, ia sudah tentu kerana ada sebab tertentu dan bukan suka-suka," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran rancangan Kilauan Emas musim kelima, di Hard Rock Cafe, di sini, Rabu.
Erra berkata demikian ketika diminta mengulas tentang sambutan ulang tahun anak mereka Engku Aleesya yang diraikan secara bersama termasuk Emran pada penghujung Mac lalu.
Dalam pada itu, Erra berkata, dia mahu perkara tersebut turut menjadi contoh kepada masyarakat bahawa setiap pasangan yang bercerai, mereka masih boleh berbaik demi kebahagian anak.
"Saya mahu mengajar dan menjadi contoh kepada masyarakat terutamanya yang turut melalui perkara seperti ini untuk berbaik demi anak mereka.
"Alhamdulillah, ramai juga yang beri reaksi positif dan nampak apa yang cuba saya sampaikan daripada melihat ia sebagai berbaik untuk kembali sebagai suami isteri," katanya.
Tambah Erra, dia akan meneruskan perhubungan tersebut walaupun jika kedua-dua mereka mendirikan rumah tangga dengan pasangan masing-masing suatu hari nanti.
Selain itu, Erra berkata, sebagai seorang yang dibesarkan oleh ibu tunggal, dia juga memahami kekosongan yang perlu diisi kepada anaknya agar tidak merasai kekurangan berbanding kanak-kanak lain.
"Saya dibesarkan oleh ibu tunggal, jadi saya tahu di mana ruang-ruang kosong yang saya perlu isi agar Aleesya tidak rasa kekurangan daripada orang lain.
"Alhamdulillah, saya lihat dia mendapat kasih sayang berganda daripada kedua-dua belah pihak keluarga dan dia juga sudah memahami sedikit demi sedikit situasi kami," katanya.
Sementara itu, ditanya tentang teman lelaki berstatus bujang yang didedahkan November tahun lalu, Erra berkata, mereka masih dalam peringkat mengenali antara satu sama lain.
Dia enggan mendedahkan hubungan percintaan tersebut lebih lanjut.
"Saya belum ada perancangan ke fasa seterusnya tentang hubungan itu dan masih lagi mengenali hati budi. Kami bercinta cara orang dewasa dan tiada keluar makan atau tengok wayang.
"Buat masa ini saya belum bersedia untuk bercakap tentang dia dan saya dedahkan perkara itu dahulu adalah untuk menutup spekulasi hubungan cinta yang keluar dahulu," ujarnya. — mStar online
0 Komentar untuk "Erra Fazira Tertekan Hubungan Baik Dengan Bekas Suami Disalah Anggap"