KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa bangga dengan keputusan memberangsangkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 seperti yang diumumkan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau bangga kerana pencapaian STPM 2014 menunjukkan peningkatan dari segi peratusan pelajar yang lulus penuh dan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang meningkat daripada 2.57 pada STPM 2013 kepada 2.62 pada STPM 2014.
“Tahniah saya ucapkan kepada 41,915 orang pelajar yang lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2014, terutamanya kepada 408 pelajar yang mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.
“Saya yakin seluruh ahli keluarga, guru-guru, dan masyarakat juga turut merasa bangga dengan keputusan tersebut. Justeru, sekalung tahniah kepada semua ibu bapa atas kecemerlangan anak-anak mereka. Sesungguhnya dorongan ahli keluarga amat perlu bagi melonjakkan pencapaian pelajar.
Kejayaan ini sebenarnya amat rapat dengan sikap guru dan keluarga. Dalam erti kata lain, kecemerlangan yang dicatatkan oleh para pelajar ini sebahagiannya adalah hasil titik peluh dan usaha gigih keluarga dan guru-guru,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Muhyiddin berkata, kejayaan itu juga menunjukkan usaha Kementerian Pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terutama dalam transformasi dan memperkasakan pendidikan tingkatan enam secara tidak langsung meningkatkan prestasi guru dan pelajar untuk berusaha mencapai kecemerlangan.
Jelas beliau, perubahan dalam sistem pentaksiran STPM turut memainkan peranan sebagai pemangkin kepada keupayaan warga sekolah meningkatkan prestasi sekolah masing-masing sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan para pelajar.
Tambahnya, keputusan yang diperoleh hari ini juga menunjukkan bahawa jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar telah dapat dikurangkan.
“Ini memberi petunjuk bahawa peluasan dan keberkesanan sistem pendidikan serta dasar yang diamalkan oleh Kementerian Pendidikan telah berjaya memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Pendidikan akan terus berusaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan negara.
“Kepada pelajar dan sekolah yang menerima anugerah pada hari ini diingatkan bahawa pemberian tersebut adalah sebagai insentif atas usaha mereka dan sebagai galakkan serta dorongan kepada yang lain untuk berusaha bagi mencapai kejayaan.
Kepada yang kurang berjaya, saya mengingatkan mereka agar tidak berputus asa. Saya percaya jika kita terus berusaha dan memperbaiki diri kita, insya Allah, kita juga akan berjaya,” katanya. – mynewshub.cc
0 Komentar untuk "TPM Bangga Keputusan STPM 2014"