FREETOWN – Presiden Ernest Koroma mengarahkan seluruh penduduk Sierra Leone supaya berada di kediaman mereka selama tiga hari dalam usaha mengekang penularan wabak maut Ebola.
“Semua rakyat Sierra Leone mesti tinggal di rumah selama tiga hari,” katanya sekali gus meluaskan perintah kuarantin yang sebelum ini dikuatkuasakan di ibu kota Sierra Leone, di sini dan utara negara berkenaan.
“Saya komited melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menghapuskan jangkitan Ebola dan saya menyeru kerjasama setiap warga Sierra Leone untuk memerangi wabak ini,” tambahnya.
Orang ramai diperintahkan berada di rumah mereka dari pukul 2 petang, 27 Mac hingga pukul 2 pagi, 29 Mac ini (kedua-duanya waktu Malaysia).
Terdahulu, Guinea, Liberia dan Sierra Leone meletakkan matlamat untuk mengekang penularan virus maut itu menjelang 16 April depan.
Wabak Ebola telah meragut lebih 10,000 nyawa di tiga negara itu setakat ini.
Liberia hampir mengisytiharkan negara berkenaan sebagai bebas Ebola apabila satu kes baharu muncul di ibu kotanya, Monrovia pada Jumaat lalu.
Ebola merupakan antara virus paling berbahaya kepada manusia dan berjangkit hanya melalui sentuhan langsung dengan cecair badan mayat mangsa Ebola atau pesakit yang menunjukkan simpton seperti demam dan muntah.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Ebola masih boleh berjangkit menerusi sperma 82 hari selepas pesakit yang membawa virus itu sembuh. – AFP
0 Komentar untuk "Sierra Leone Dikuarantin Untuk Kekang Ebola"