Siapa Bakal Isteri Taufik Batisah?


Bakal Isteri Taufik Batisah



Sibuk Persiapan Kahwin, Taufik Batisah Rahsia Nama Bakal Isteri | SINGAPURA – Ketika media massa di Malaysia ‘terkesima’ dengan laporan eksklusif MYNEWSHUB pada Sabtu lalu mengenai berita perkahwinan penyanyi Singapura, Taufik Batisah, ramai peminatnya masih enggan mempercayai cerita itu.



Malah program hiburan sensasi Melodi terbitan TV3 pada Ahad juga cuba ‘memperlecehkan’ laporan MYNEWSHUB menerusi rakaman temubual awal dengan artis berusia 33 tahun itu kononnya beliau belum ada lagi hasrat berkahwin bulan depan.



Ada marah dengan laporan MYNEWSHUB itu kononnya berita Taufik bernikah dengan gadis pilihan dirinya sendiri yang juga warganegara Singapura adalah palsu atau jenaka ‘April Fool’ kerana kebetulan berlaku pada awal bulan tersebut.



Namun atas dasar integriti, MYNEWSHUB sekali lagi meninjau isu perkahwinan Taufik menerusi pelbagai sumber berita antarabangsa dan terbukti, hanya media Singapura dan MYNEWSHUB di Malaysia sahaja yang menyiarkan laporan itu.



Khabarnya, sejurus beberapa minit berita gempar itu disiarkan stesen MediaCorp Singapura dan MYNEWSHUB, bekas juara Singapore Idol musim pertama pada 2004 lalu tidak ‘menang tangan’ menerima ucapan tahniah bertalu-talu tanpa henti.



Ribuan peminatnya mendoakan kesejahteraan bekas graduan kejuruteraan Singapore Polytechnic itu dan tidak kurang juga, cemburu dengan gadis tersebut kerana dianggap bertuah dapat bersuamikan lelaki kacak dan berbudi bahasa.



Taufik khabarnya terkejut dengan pengumuman agensi rakaman beliau, Hype Records, yang kemudian dipetik MediaCorp dan MYNEWSHUB mengenai berita pengedaran kad jemputan perkahwinan beliau kepada semua tetamu bermula minggu depan.



Bagaimanapun atas permintaan beliau, Hype Records enggan mendedahkan nama bakal isteri Taufik malah penyanyi kacukan Bugis dan India tempatan itu turut merahsiakan butiran gadis tersebut sebagai menghormati bakal keluarga mertuanya.



Sebaliknya, Taufik dalam kenyataan dikeluarkan pada Ahad hanya menjelaskan wanita istimewa yang bakal menjadi teman hidupnya itu bukanlah penyanyi atau artis dari kalangan dunia hiburan dan mengesahkan gadis itu rakyat Singapura.



“Terima kasih semua atas kata-kata perangsang dan ucapan tahniah. Seperti mana kita berkongsi kebahagiaan dan air mata sepanjang kerjaya, saya juga ingin berkongsi kebahagiaan peribadi ini bersama anda semua.



“Saya gembira akhirnya bertemu insan istimewa, yang dapat berkongsi masa depan secara bersama. Beliau bukanlah daripada dunia hiburan… Selama ini saya melindungi kehidupan peribadi saya, justeru saya harap anda semua faham.



“Saya ikhlas mahu melindungi kehidupan peribadi beliau. Memandang ke depan, saya harap dedikasi terhadap kerjaya dan keluarga saya dapat saling wujud dengan baik,” jelas Taufik yang juga duta Bahasa Melayu pemerintah Singapura.



Beliau menambah, menjelang majlis perkahwinan tersebut, mereka begitu sibuk membuat banyak persiapan serta berharap orang ramai akan terus menyokong dan berdoa untuk kesejahteraan mereka.



Sebelum ini, terdapat desas desus mengaitkan Taufik dengan pelakon jelita, Nur Fazura Sharifuddin kerana mereka dilihat sering bergambar bersama dan kebetulan menjadi panel juri pertandingan komedi Maharaja Lawak Mega.



Ternyata ia sekadar gosip semata-mata dan tidak ramai tahu, majalah hiburan Manja terbitan MediaCorp sudah pun melaporkan cerita Taufik ‘pening kepala’ memilih pakej pengantin perkahwinannya sejak 2 minggu lalu. – Agensi
0 Komentar untuk "Siapa Bakal Isteri Taufik Batisah?"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info