Teater Baik Punya Cilok Tamatkan Sengketa 8 Tahun AC & Hans | KUALA LUMPUR – Pementasan teater Baik Punya Cilok yang bakal dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya bulan hadapan menjadi penamat kepada perselisihan faham bertahun lamanya yang melanda dua teraju utamanya iaitu Hans Isaac dan Datuk AC Mizal.
Memetik laporan Mynewshub, selepas lapan tahun tidak berjumpa dan berkomunikasi di antara satu sama lain, akhirnya mereka sudah berbaik dan melupakan sebarang persengketaan yang pernah terjadi sebelum ini.
Menurut AC, kematangan seiring usia membuatkan mereka kini bersedia untuk menjalinkan semula persahabatan yang pernah terputus itu.
“Pada mulanya saya terfikir sama ada Hans sudi untuk berbaik semula selepas apa yang berlaku.
“Namun saya bersyukur dia sendiri mempunyai rasa yang sama. Saya tak sangka dia dengan rendah diri meminta maaf dan kami berbaik semula,” katanya ketika ditemui pada sidang media pementasan teater Baik Punya Cilok di Istana Budaya, di sini hari ini.
Sementara itu, Hans menyatakan dia sangat merindui momen-momen ketika mereka berempat saling bekerjasama dan persengketaan yang berakhir itu merupakan perkara yang sangat-sangat dihargainya.
“Saya sudah mula berpegang pada prinsip tidak mahu bermusuh dengan sesiapa tak kiralah sama ada orang itu suka atau tidak pada saya.
“Saya pun rindukan momen-momen kami berempat bersama kembali macam dulu,” kata Hans yang turut terlibat sebagai pengarah untuk pementasan Lawak Ke Der 2015 yang mula dipentaskan pada 16 April depan.
Bulan April yang juga dikenali sebagai Bulan Lawak di Istana Budaya turut menyaksikan Baik Punya Cilok bakal dipentaskan bermula 25 April hingga 1 Mei ini.
Selepas 10 tahun filem itu ditayangkan, kini mereka berempat, Awie, Afdlin Shauki, Hans Isaac dan AC Mizal bersatu kembali dalam teater yang bakal menjanjikan satu kelainan buat penonton yang hadir kelak.
Teater berkenaan yang akan diarahkan Afdlin Shauki bakal menyelitkan segmen muzikal selain elemen komedi. Jalan cerita yang terdapat dalam filem turut dikekalkan dalam produksi teater berskala besar ini.
Baik Punya Cilok mengisahkan empat sahabat, Aben (Afdlin), Bob (Awie), Jerry (Hans) dan Wak (AC) yang berpakat untuk merompak seorang tauke kedai pajak, Tauke Wong bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul.
Tiket-tiket berharga RM55, RM85, RM110, RM140, RM160 dan RM190 boleh didapati menerusi www.ticket2u.biz atau boleh hubungi box office Istana Budaya di talian 03-42532241.
0 Komentar untuk "Sengketa 8 Tahun AC & Hans Akhirnya Tamat"