KUCHING – Perkarangan Pusara Pahlawan di Jalan Budaya di sini akan diberi wajah baharu dan apabila kerja menaik tarafnya selesai, ia akan mempunyai landskap yang sungguh indah, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Anak Numpang.


“Tempat ini akan diperindah sebagai penghormatan kepada para pahlawan kita yang gugur ketika mempertaruhkan nyawa mereka untuk mempertahankan negara kita,” katanya.


Beliau berkata nama pahlawan tempatan dan dari negara Komanwel seperti Britain, Australia dan New Zealand, yang gugur ketika mempertahankan negara ini, juga akan diukir pada dinding makam ini.


Jabu berkata kerja membina pusara serta nisan Datuk Kanang Anak Langkau dan DSP Michael Padel akan siap menjelang akhir bulan ini iaitu sebelum Ahad Easter.


“Kontraktor berkenaan berkata kerja itu boleh disiapkan menjelang akhir bulan ini iaitu sebelum sambutan Easter pada April,” kata Jabu sambil menjelaskan bahawa projek itu melibatkan kos hampir RM200,000.


Kanang, yang rebah dan meninggal dunia pada usia 68 tahun di rumahnya di Sungei Apong, disemadikan di Pusara Pahlawan Jalan Budaya pada 6 Jan 2012 dengan penuh istiadat tentera.


Keluarga Kanang, yang terdiri daripada isteri dan enam anaknya, dikatakan tidak dibenar membuat sebarang pindaan terhadap pusaranya kerana ia adalah milik tentera.


Kanang, yang lahir di Julau pada 2 Mac 1945, menyertai Sarawak Rangers, yang ketika itu menjadi sebahagian daripada tentera Britain, sebagai penjejak Iban pada 21 April 1962.


Sarawak Rangers kemudian ditukar namanya kepada Malaysian Rangers pada 1963 berikutan pembentukan Malaysia.


Pegawai Waran Satu ini adalah penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dan Sri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), pingat tertinggi angkatan tentera.


Sementara itu, Micahel Padel, 36, dari Kampung Tebakang Bidayuh di Serian, bekas ketua Cawangan Khas Semporna, adalah antara lapan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo dekat Lahad Datu dan Semporna pada 1 dan 2 Mac 2013. – BERNAMA