BALING: Walaupun anak kesayangannya berada jauh di bumi bergolak Syria, ia tidak menghalang Ahmad Hussin mengharapkan berlakunya keajaiban suatu hari nanti bahawa anaknya akan kembali ke pangkuan keluarga.
Anaknya, Nor Mahmudah, 26, mengikut suaminya, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, 25, yang dipercayai terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Syria sebagaimana didedahkan oleh polis pada Khamis.
"Jika ada pesanan yang boleh disampaikan kepada dia (Nor Mahmudah), saya harap dia pulanglah ke pangkuan keluarga. Saya pun tidak berapa sihat, tak tahu sama ada akan bertemu dengan dia lagi atau tidak. Pulanglah."
"Hanya takdir yang akan menentukan sama ada dia akan pulang ke pangkuan keluarga, sama juga seperti takdir yang menentukannya untuk berada di Syria," katanya.
Walaupun lumpuh di kedua-dua bahagian kakinya serta separuh badannya akibat serangan angin ahmar, namun beliau tetap gigih menanggung kehidupan keluarga dengan bekerja sebagai tukang kasut di pekan Baling sejak 1987.
Disebabkan lumpuh, Ahmad terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.
Lebih dikenali dengan nama "Majeed" di kalangan warga pekan yang bersempadan dengan Thailand, Ahmad berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya adalah pada Oktober tahun lepas ketika menjalani rawatan di Hospital Sungai Petani.
Pada ketika itu, beliau sedang bersiap sedia menjalani pembedahan di bahagian perut.
"Itu adalah kali terakhir saya bertemu dengan Nor Mahmudah. Beliau datang (ke hospital) berseorangan tanpa suaminya.
Selepas itu kami tidak pernah bertemu, mahupun berbual menerusi telefon," katanya.
Nor Mahmudah merupakan anaknya hasil perkahwinan pertama beliau.
Beliau juga berkata tidak pernah mengetahui anaknya berada di Syria sehinggalah dimaklumkan oleh anggota polis yang berkunjung ke rumahnya di Carok Nau pada Rabu.
"Saya amat terkejut apabila diberitahu bahawa Nor Mahmudah kini berada di Syria mengikut suami, tetapi saya menerimanya sebagai suatu ketentuan Allah SWT," katanya.
Ditanya perkenalan anaknya dengan Muhammad Wanndy yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka, Ahmad berkata beliau tidak mengetahui mengenainya tetapi mengesyaki berkemungkinan ia berlaku ketika kedua-dua mereka bekerja di Pulau Pinang tahun lepas.
Anaknya juga tidak pernah memperkenalkan bakal suaminya kepada mereka sekeluarga sebelum berkahwin dan Muhammad Wanndy hanya berkunjung rumah mentuanya di Baling sebanyak dua kali selepas pernikahan mereka, katanya.
"Beliau (Nor Mahmudah) ada meminta izin saya untuk berkahwin dan saya berkata jika dia berkeyakinan lelaki itu (Muhammad Wandy) adalah elok untuk dia, maka eloklah pada saya," katanya.
Ahmad berkata, beliau tidak mahu menghalang perkahwinan kedua anaknya itu selepas perkahwinan terdahulunya berakhir dengan perceraian, walaupun tidak mengenali latar belakang secara terperinci menantunya itu.
Ditanya sama ada Nor Mahmudah dan menantunya itu seorang yang alim dan kuat beragama, beliau menidakkannya dan berkata, semasa pertemuan dengan Muhammad Wandy sebelum ini, menantunya hanya memakai seluar pendek.
Bagaimanapun, Ahmad mengakui, beliau tidak pernah bercakap dengan menantunya semasa dua pertemuan singkat sebelum ini. - mStar Online
0 Komentar untuk "Pulanglah Ke Pangkuan Keluarga, Rayu Bapa Kepada Wanita IS"