Budak Militan IS Bunuh Perisik Israel | Beirut: Kumpulan Negara Islam (IS) kelmarin menyiarkan satu video yang memaparkan seorang budak lelaki membunuh lelaki Palestin yang dituduh menjadi perisik Israel.
Video selama 13 minit itu menunjukkan seorang militan dan budak lelaki memakai baju celoreng berdiri di belakang seorang tahanan yang memakai baju berwarna oren dan sedang melutut.
Militan itu membaca satu kenyataan ringkas dalam bahasa Perancis yang menuduh lelaki berkenaan bekerja dengan agensi perisikan Israel, Mossad.
Sejurus kenyataan berkenaan habis dibaca budak lelaki itu menembak mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohamed Said Ismail Musalam di kepala.
Agensi berita Associated Press tidak dapat mengesahkan kesahihan video itu yang disiarkan sayap media IS, Furqan yang pernah menyiarkan beberapa video kumpulan itu sebelum ini.
Sementara itu, Kementerian Luar Israel enggan mengulas.
Agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet pula berkata, pihaknya pernah mengumumkan pada awal tahun lalu bahawa Mohamed Said pergi ke Turki untuk berjuang bersama IS.
IS pada bulan lalu menyiarkan wawancara dengan Mohamed Said yang disiarkan dalam majalah dalam talian kumpulan itu.
Gambar lelaki dalam majalah itu menyerupai wajah lelaki yang dibunuh dalam video berkenaan.
Bapa mangsa, Said berkata, dia belum menonton video itu lagi.
Katanya, anak lelakinya yang berusia 19 tahun itu pergi ke Syria empat bulan lalu tanpa memberitahu keluarganya.
Mohamed Said kemudiannya memberitahu abangnya bahawa dia menyertai IS di Syria.
Tidak lama selepas itu, Mohamed Said menghubungi keluarganya melalui Internet dari bandar Raqqa di Syria dan memberitahu bahawa dia mahu pulang.
“Saya melihat dia berjambang dan berambut panjang serta memegang senapang Kalashnikov.
“Dia memberitahu bahawa dia sudah bosan dengan keadaan di Syria dan mahu pulang,” katanya. - AP
0 Komentar untuk "Perisik Israel Dibunuh Budak Militan IS"