Frankfurt: Keganasan yang meletus antara aktivis antikapitalis dan polis Jerman mencemar pembukaan rasmi ibu pejabat baru Bank Pusat Eropah di sini, semalam.
Polis antirusuhan menggunakan meriam air, menangkap lima penunjuk perasaan dan mengepung kira-kira 500 orang menjelang perasmian bangunan berkembar baru setinggi 185 meter dan berharga 1.3 bilion euro itu.
Lapan anggota polis cedera apabila penunjuk perasaan melontar batu sementara 80 lagi anggota disembur gas.
Jurucakap polis berkata, beberapa premis perniagaan dan kediaman juga rosak.
Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan yang membantah dasar jimat-cermat Kesatuan Eropah dan berkumpul di bawah sepanduk ‘Blockupy’ kemudian berarak dan berhimpun di pusat bandar kewangan Jerman itu.
Keganasan bermula sejak awal pagi dengan beberapa kereta, termasuk tujuh kenderaan polis dibakar.
Polis bagaimanapun sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan lebih banyak keganasan sambil menyifatkan sebahagian besar penunjuk perasaan itu sebagai ‘agresif dan ganas.’ - Agensi
0 Komentar untuk "Perasmian Bank Pusat Eropah diganggu aktivis"