ALOR SETAR – Seorang pencari petai mengalami detik-detik cemas apabila tersua dengan sebutir bom lama di Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim ketika mencari petai di hutan itu baru-baru ini.


Menurut laman Facebook Polis Kedah Rabu, polis menerima panggilan daripada pencari petai itu pada 2.55 petang, 22 Feb lepas memaklumkan tentang penemuan bom itu.


Hasil daripada maklumat itu, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontingen Kedah telah digerakkan ke lokasi berkenaan, popular sebagai destinasi perkelahan.


“Hasil penelitian, mendapati bom tersebut adalah Bomb 500 ILB MKII yang dipercayai digugurkan dari pesawat pengebom ke kedudukan kem komunis semasa Darurat di Tanah Melalyu di Hutan Sungai Karangan, Kulim,” menurut Facebook Polis itu.


Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad yang dihubungi hari ini mengesahkan penemuan bom itu dan berkata, ia telah diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Kedah minggu lepas. – BERNAMA