JAKARTA – Badan Pencari dan Penyelamat Nasional (Basarnas) akan menghentikan semua operasi bagi mencari saki baki mangsa pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa, lewat tahun lalu dalam masa dua minggu lagi.


Akhbar-akhbar tempatan pada Isnin bagaimanapun melaporkan, tarikh rasmi penamatan operasi itu hanya akan dilakukan setelah berunding dengan waris mangsa yang belum menerima mayat saudara atau keluarga masing-masing.


“Satu minggu atau dua minggu akan bergantung hasil pertemuan saya dengan keluarga mangsa. Tetapi maksimum ialah dua minggu. Setelah semua itu selesai, satu kenyataan akan dikeluarkan,” jelas ketua Basarnas, Bambang Soelistyo.



Bambang Soelistyo


Rangka terakhir dan paling besar pesawat penerbangan QZ8501 itu berjaya diangkat naik dari dasar perairan Selat Karimata pada 27 Februari lalu dan kemudian dihantar dengan kapal Basarnas menuju ke Jakarta untuk proses siasatan lanjut.


Pesawat Airbus A320 dengan pendaftaran badan PK-AXC ini terhempas dekat Pangkalan Bun, wilayah Kalimantan Tengah pada 28 Disember lalu dipercayai terbang ketika awan ribut dalam cuaca amat buruk dari Surabaya ke Singapura.


Ia membawa 155 penumpang dan 7 anak kapal, majoriti warga Indonesia manakala 3 rakyat Korea Selatan serta masing-masing seorang dari Malaysia, Singapura, Britain dan Perancis, namun sehingga kini 59 mayat belum lagi ditemui.



Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Indonesia belum mengumumkan secara rasmi punca nahas itu tetapi pesawat tersebut dikatakan terbang naik ke paras lebih tinggi sebelum terhenti secara tiba-tiba lalu menjunam masuk ke dasar laut.


Misi itu sepatutnya berakhir setelah pasukan penyelam Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut pada 12 dan 13 Januari lalu berjaya membawa naik kedua-dua kotak hitam perakam penerbangan dari dalam pesawat malang tersebut


Sekitar 103 mayat sudah ditemui sejak pesawat syarikat udara tambang rendah itu terhempas dalam penerbangan kontroversi susulan jadual perjalanannya tidak pernah diiktiraf sah oleh Kementerian Pengangkutan Indonesia. – AFP