JAKARTA (Bernama) — Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri
Zahrain Mohamed Hashim meminta media Indonesia tidak membuat laporan berat
sebelah dengan memetik dakwaan Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar
kononnya ditahan atas dendam politik.


Beliau menegaskan dakwaan itu tidak benar kerana Ketua Polis Negara Malaysia
Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya telah menjelaskan bahawa Nurul Izzah
ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan kerana membuat pelbagai
dakwaan dalam perhimpunan haram “#Kita Lawan” di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Beliau ditahan bagi membantu siasatan kerana membuat pelbagai tohmahan
terhadap badan kehakiman ketika menyertai perhimpunan haram itu dan ia tidak
ada kaitan dengan isu perbahasannya dalam Parlimen (Dewan Rakyat) seperti
dilaporkan oleh media di negara ini,” katanya dalam temu ramah dengan Akhbar
Tempo di pejabatnya di sini hari ini.


Akhbar itu menyifatkan Nurul Izzah sebagai “Ratu Reformasi Malaysia” dan
memetik dakwaan beliau kononnya telah ditahan tanpa alasan dan ia adalah satu
cara kerajaan Malaysia membalas dendam terhadapnya kerana Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak panik dengan pendedahan mengenai skandal 1MDB yang
dibuatnya dalam sidang Dewan Rakyat.


Zahrain berkata, Nurul Izzah sebenarnya ditahan bagi membantu siasatan
mengikut undang-undang negara dan beliau telah dibebaskan dengan jaminan
polis.


Beliau berkata mana-mana pihak tidak sepatutnya mempertikaikan undang-undang
sesebuah negara kerana ia adalah hak kedaulatan negara itu.


“Semua pihak harus menghormati undang-undang sesebuah negara dan media harus
membuat laporan dengan fakta yang tepat dan tidak mengelirukan mana-mana pihak,”
katanya.


Zahrain berkata, Nurul Izzah sebenarnya cuba membela ayahnya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dengan menyalahkan pihak kerajaan sedangkan ketua pembangkang itu
dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana disabitkan pertuduhan meliwat yang
merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang negara Malaysia.


“Di sesetengah negara mungkin meliwat tidak salah di sisi undang-undang
tetapi di Malaysia ia adalah satu kesalahan dan disebabkan itu kita tidak boleh
membuat perbandingan undang-undang antara sesebuah negara dengan negara lain,”
kata beliau. — BERNAMA