BAGI yang pernah menghuni kota New York, Nathan’s Famous adalah jenama makanan yang tidak asing buat mereka.
Signature bagi jenama ini adalah hot dog yang mula-mula sekali diperkenalkan di Coney Island oleh Nathan Handwerker dan isteri, Ida Greenwald pada 1916 seterusnya menjadi kegilaan penduduk sana kerana keenakan rasanya.
Rahsia keenakannya terletak pada resipi rahsia pembuatan hot dog yang diwariskan nenek Ida.
Dek kerana lokasi Coney Island begitu hampir dengan Manhattan dan kota kecil NY lain, ia menarik ramai pelancong untuk datang berkelah ke sana dan ramai di kalangan mereka, membawa pulang kenangan menikmati hot dog sedap Nathan’s Famous hingga menjadikannya jenama mewakili pulau tersebut.
Ternyata rasa hot dot di sini tidak hanya kena dengan lidah penduduk setempat kerana ia turut menawan selera masyarakat luar termasuk figura terkenal dunia tanpa mengira pangkat, bangsa, ideologi dan apa sahaja.
Orang terkenal yang sangat menyukai hidangan Nathan’s Famous antaranya kepala gangster terkenal Al Capone, penyanyi evergreen Frank Sinatra, pelakon Hollywood Cary Grant, bekas Datuk Bandar NY Rudy Giuliani, bekas wanita pertama Amerika Syarikat Jacqueline Kennedy dan ramai lagi.
Kini selepas lebih sedekad, resipi sama yang diperturunkan oleh nenek Ida masih digunakan hingga sebilangan besar penjamah hot dog yang bukan penduduk asal NY menelan liur apabila teringatkannya selepas meninggalkan negara Uncle Sam.
Di Coney Island ketika musim panas tahun lepas, dianggarkan hampir 11 juta pengunjung membanjiri pulau ini dan rata-rata mereka tidak melepaskan peluang menikmati menu paling popular Nathan’s Famous iaitu kentang goreng potongan mengerekot.
Manakala menjelang tarikh 4 Julai setiap tahun lebih 40,000 orang akan mengunjungi cawangan induk restoran ini di Coney Island bagi menyaksikan pertandingan makan hot dog terbanyak.
Pertandingan ini mencipta fenomena tersendiri hinggakan ia dipancar secara langsung menerusi ESPN dan meraih tontonan jutaan orang, selain menghasilkan pendapatan lebih 100 juta dollar menerusi televisyen, surat khabar, radio dan Internet kepada jenama Nathan’s Famous!
CAWANGAN PERTAMA DI ASIA
Kini buat kali pertama di Asia, Nathan’s Famous akhirnya dibuka di IOI City Mall Putrajaya sejak 12 Disember tahun lalu.
Pemiliknya tak lain tak bukan adalah peminat yang menggilai hot dog resipi nenek Ida sendiri, Tunku Karldej yang juga merupakan Master Franchisee bagi rangkaian restoran makanan segera ini di Malaysia dan Singapura.
Beliau mula mengenali Nathan’s Famous lima tahun lalu, ketika bercuti bersama keluarga di NY.
Terkejut apabila hot dog dijamah keenakannya melampau daripada biasa, sejak itu ia menjadi makanan kegemaran Tunku Carl yang akan dicarinya apabila ke NY.
Namun kini, rutin itu tinggal kenangan memandangkan rasa sama masih mampu dinikmatinya di tanah air tercinta. Lebih daripada itu, keenakan Nathan’s Famous dapat dikongsikan beliau dengan masyarakat Malaysia.
Bagi yang belum pernah ke NY dan tidak mengenali Nathan’s Famous sebelum ini, trivia dalam laporan di atas sudah pasti membuka mata.
Justeru jika berkunjung ke sini kali pertama dan mahu mencuba, terdapat hot dog yang sudah ratusan tahun diperkatakan keenakannya, jadi tak perlu cerita panjang untuk mengesahkan.
Bagaimanapun, menu MESTI CUBA adalah kentang goreng potongan mengerekot yang dinobatkan ramai orang sebagai kentang goreng ‘terbaekkk’ di NY. Ia disajikan bersama lelehan lima pilihan topping lazat yang sukar didapati di mana-mana restoran makanan segera di negara ini.
Begitu pun, terdapat juga menu lain yang menawarkan rasa hebat dan berbeza apabila dicuba antaranya Cheesesteaks serta charbroiled burger.
- MYNEWSHUB.CC
0 Komentar untuk "Jamah Hot Dog ‘Terbaekk’ New York Di Putrajaya"