Khairy Jamaluddin: Siapalah Tiada Kerja Edit Gambar Fitnah | Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan penyebaran kenyataannya berhubung satu gambar dipercayai diedit pihak tertentu yang menyebut beliau tidak akan pergi ke Kelantan sekiranya hudud dilaksanakan di negeri itu.
Melalui laman Facebooknya, Khairy hari ini mengesahkan gambar itu sebagai fitnah.
“Siapalah tak ada kerja lain sampai mempunyai banyak masa lapang untuk ‘photoshop’ berita palsu di bawah ini.
“Biasanya saya tidak perlu nafi fitnah seperti ini tetapi oleh sebab ramai yang tanya saya tentang berita ini, maka saya dengan tegas ingin sahkan bahawa ia adalah satu fitnah,” tulisnya.
Khairy berkongsi gambar yang menunjukkan paparan berita bertajuk ‘Hudud Kelantan: Kalau Lulus Saya Tak Akan Masuk Kelantan – Khairy Jamaluddin’ yang menggunakan reka letak sebuah portal berita tempatan.
Dalam kenyataan sama, Khairy Jamaluddin sempat menyindir agar pelaku lebih logik jika mahu menipu.
“Ini bukan kenyataan saya dan ini juga bukan berita yang diterbitkan. Ini kerja edit gambar.
“Kalau nak menipu pun biarlah logik sikit,” katanya Lapor Sinar Harian.
0 Komentar untuk "Isu Khairy Jamaluddin Tidak Akan Masuk Kelantan Jika Hudud Dilaksanakan"