Ibu kepada pelakon drama Juvana, Johan A’sari diserang strok kira-kira jam 12 tengah hari pada Jumaat lalu di kediamannya di Subang Jaya.


Menurut Johan, ibunya, Datin Firdaus Abdul Kader, 58, tiba-tiba rebah di ruang tamu ketika Johan sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat.


“Sebenarnya ini bukan kali pertama mengalami serangan strok kerana sebelum ini dia pernah tiga kali diserang penyakit sama tetapi hanya mild strok (strok ringan) dan kemabali pulih seperti sedia kala. Ini adalah kejadian kali keempat tetapi saya berasa sedih kerana keadaannya agak membimbangkan berbanding sebelum ini,” kata Johan.


Semasa ibunya rebah, Johan dan adiknya segera memapah wanita itu dan membawanya ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.


Dia masih menunggu keputusan daripada doktor untuk mengetahui keadaan semasa penyakit ibunya itu.


Johan menyatakan dirinya begitu resah dan hanya Allah saja yang tahu, doktor juga telah memindahkan ibunya dari wad kecemasan biasa ke ‘bilik merah’ dan tidak membenarkan mereka berada di dalam wad pada ketika ini.


Johan turut berharap agar peminat mendoakan kesejahteraan ibunya supaya kesihatan wanita itu kembali seperti biasa. – MYNEWSHUB.CC