Ibu Diserang Strok, Johan As'ari Mohon Doa Peminat



PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon Johan As'ari iaitu Datin Firdaus Abdul Kader, 58, diserang penyakit strok (angin ahmar) kira-kira pukul 12 tengah hari, Jumaat di kediamannya di Subang Jaya dekat sini.

Johan, 29, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat sebelum ibunya tiba-tiba rebah ketika sedang berehat di ruang tamu.

"Sebenarnya ini bukan kali pertama ibu mengalami serangan strok kerana sebelum ini dia pernah tiga kali diserang penyakit sama tetapi hanya mild strok (strok ringan) dan kembali pulih seperti sedia kala.

"Ini adalah kejadian kali keempat tetapi saya berasa sedih kerana keadaannya agak membimbangkan berbanding sebelum ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Jelas Johan, semasa ibunya rebah dia dan adiknya segera memapah dan membawa wanita berkenaan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan di unit kecemasan.

Dalam pada itu, Johan berkata, buat masa ini dia sedang menunggu laporan daripada doktor untuk mengetahui situasi penyakit ibunya itu.

Kata Johan, bahagian kiri badan ibunya tidak memberi respons selain tidak bermaya untuk bercakap.

"Resah hati saya hanya Allah yang tahu kerana kali ini keadaan ibu agak teruk. Doktor telah memindahkan ibu daripada wad kecemasan biasa ke 'bilik merah' selain tidak membenarkan kami untuk berada dalam wad buat masa ini," jelasnya yang sebak menceritakan situasi itu.

Sementara itu, Johan berkata, dia berharap peminat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ibunya agar wanita berkenaan kembali sihat seperti sedia kala.

"Ibu adalah nyawa saya dan luluh hati saya melihatnya dalam keadaan begitu. Saya harap peminat dapat sama-sama mendoakan kesejahteraannya agar beliau kembali sihat," katanya. - mStar online

0 Komentar untuk "Ibu Diserang Strok, Johan As'ari Mohon Doa Peminat"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info