KUALA LUMPUR: Pelakon Tasha Shilla akhirnya menjawab teka teki status hubungan cintanya apabila menjelaskan bahawa dia dan kekasihnya, Hans Wong masih lagi bercinta.
Pelbagai spekulasi timbul hingga nama penyanyi Kaka Azraff turut dikaitkan sebagai punca keretakan hubungan Tasha dan Hans.
Tasha yang sebelum ini selesa berdiam diri akhirnya membuka mulut bagi menjawab segala persoalan yang timbul.
"Jika ingin bercakap mengenai orang lain (Kaka) saya memang tiada komen mengenai perkara tersebut. Namun apa yang boleh saya katakan adalah saya dan Hans masih seperti biasa malah saya sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan kami putus cinta.
"Bagi saya kalau bergaduh itu adalah perkara biasa, sedangkan orang yang sudah berkahwin pun turut terkena tempiasnya. Biasalah jika pasangan bercinta bergaduh namun banyak pihak membuat spekulasi sendiri berhubung perkara ini," kata Tasha ketika ditemui di Drama Festival Kuala Lumpur 2015 di Balai Berita, di sini.
Tasha enggan mengulas lanjut mengenai hubungannya bersama Hans kerana baginya biarlah sedikit ruang peribadi disimpan hanya untuk diketahui oleh dirinya saja serta menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan selebihnya.
"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kita hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Namun saya tidak menyalahkan pihak yang membuat persepsi sendiri kerana mereka mempunyai hak untuk membuat demikian," katanya.
Sementara itu, susuk tubuh Tasha yang semakin kurus juga turut menimbulkan tanda tanya sama ada ia mempunyai hubung kait dengan masalah percintaan yang sedang dihadapinya. Malah Tasha turut mengulas mengenai isu samannya terhadap sebuah rancangan hiburan tempatan, Melodi.
"Saya kurus kerana saya rasa diri agak berisi jika dilihat dalam televisyen. Setakat ini saya berjaya hilang 2 kilogram dengan berdiet dan jogging. Manusia biasalah ada turun dan naik dalam hidup ini.
"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk menyaman rancangan hiburan itu tetapi mengambil peguam bagi mengeluarkan penyataan rasmi semoga isu yang timbul tidak disalah tafsir. Itu sahaja sebenarnya dan saya tidak pernah cakap pun mahu menyaman mana-mana pihak," kata Tasha mengakhiri perbualan. - BH Online
0 Komentar untuk "Hans masih kekasih saya - Tasha"