Dua Gereja Di Pakistan Dibom



LAHORE – Letupan bom berkembar di luar dua buah gereja di bandar ini meragut 14 nyawa dan mencederakan lebih 70 orang semalam, kata beberapa pekerja penyelamat dan saksi.

Letupan selang beberapa minit itu berlaku di kawasan penduduk beragama Kristian di bandar ini, timur Pakistan.

Polis berkata, dua buah gereja itu masing-masing gereja Katholik dan Protestan yang terletak berdekatan menjadi sasaran dalam serangan itu.

“Saya sedang duduk di sebuah kedai dekat gereja tersebut apabila satu letupan menggegarkan kawasan itu. Saya bergegas ke lokasi kejadian dan melihat pengawal keselamatan sedang bergelut dengan seorang lelaki yang cuba masuk ke dalam gereja berkenaan. Selepas gagal berbuat demikian, dia meletupkan dirinya,” kata saksi, Amir Masih.

“Saya melihat cebisan badannya melayang di udara,” tambahnya.

Pengawal keselamatan tersebut turut maut dalam letupan itu.

“Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada letupan pertama juga dilakukan oleh pengebom berani mati,” jelas Masih.

Seorang pegawai tempatan, Khawaja Rafiq berkata, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, manakala 70 lagi cedera dalam dua serangan itu.

Sebuah kumpulan serpihan Taliban, Jamaat-ul-Ahrar mengaku bertanggungjawab melakukan letupan berkembar itu.

Susulan dua letupan itu, penduduk tempatan membelasah sehingga mati dua lelaki yang disyaki terlibat, kata seorang pegawai polis.

Militan di Pakistan kerap menyerang penganut Kristian dan kumpulan minoriti agama lain sejak lebih sedekad lalu.

Bandar ini merupakan ibu kota wilayah Punjab. Wilayah berkenaan adalah yang paling kaya dan berpenduduk paling padat di Pakistan selain menjadi kubu kuat Perdana Menteri Nawaz Sharif. – REUTERS

0 Komentar untuk "Dua Gereja Di Pakistan Dibom"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info