KANO, Nigeria – Militan Boko Haram bertindak membakar rumah di bandar Bama di timur laut Nigeria yang kini dikuasai mereka, sekali gus memaksa penduduk melarikan diri ketika tentera mara untuk menawan semula bandar itu.


Militan terbabit memberitahu penduduk Bama yang terletak 70 km ke tenggara Maiduguri, supaya berpindah sebelum membakar banyak rumah ketika tentera Nigeria semakin hampir ke kawasan itu.


Pembakaran itu memaksa ratusan penduduk melarikan diri ke arah Maiduguri, ibu negeri Borno, iaitu bandar kelahiran dan kubu kuat kumpulan militan itu.


“Mereka datang ke bandar sekitar jam 12 tengah hari (waktu Nigeria) dan memberi amaran bahawa sesiapa yang mahu keluar harus segera meninggalkan bandar ini. Tidak lama selepas itu, mereka mula membakar rumah.


“Tidak semua penduduk dapat pergi dan meninggalkan bandar ini kerana ada yang terlalu sakit atau tua dan kita bimbang mereka mati terbakar di dalam rumah,” kata seorang penduduk, Umar Kaka.


Kaka yang tiba di Maiduguri semalam dengan berjalan kaki berkata, pembakaran oleh militan Boko Haram turut berlaku berdekatan kampung Boboshe dan Yale ketika tentera mula bergerak ke arah Bama.


“Kami perhatikan askar telah datang. Mereka mara ke Bama di dua medan dan bertemu dengan beberapa halangan di Boboshe dan Yale tetapi berjaya menghancurkan anggota Boko Haram,” kata seorang lagi penduduk, Bama Ibrahim Kyari.


Boko Haram merampas Bama, bandar utama kedua di Nigeria, ketika menawan beberapa bandar dan kampung di timur laut Borno, negeri Adamawa dan Yobe yang bersempadan dengan Chad, Cameroon dan Niger.


Militan Boko Haram turut melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar berkenaan, memaksa beratus-ratus penduduk melarikan diri manakala yang lain masih terperangkap di sana.


Tentera Nigeria dibantu tentera dari Chad, Niger dan Cameroon sejak beberapa minggu ini mula menggempur kebanyakan kawasan yang dikuasai Boko Haram.


Nigeria berikrar untuk menawan semula semua wilayah yang diduduki Boko Haram sebelum pilihan raya umum pada 28 Mac. – AFP