3 Mati – Banyak Cerita Berlegar Di Kalangan Pekerja TNB | Mangsa terakhir pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang parah akibat letupan di pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, Jalan Klang Lama, 23 Februari lalu, meninggal dunia petang semalam.
Allahyarham Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, yang juruteknik TNB meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, di Kuala Lumpur pukul 6.55 petang.
Dua rakan sekerjanya, Mohd Ruzairi Razali, 34 dan Norizan Abdullah, 59, meninggal dunia pada 25 Februari dan 1 Mac lalu.
Bermakna, dalam kejadian malang itu, seramai 3 pekerja TNB meninggal dunia.
Kalau dilihat, bukan kemalangan yang kecil tetapi dipandang macam ringan hanya kerana jarak kematian yang wujud antara ketiga-tiga mangsa itu agak jauh.
Jika diamati, ia kejadian yang besar dan seharusnya mendapat perhatian semua anggota masyarakat dan pemimpin semua parti politik.
Seharusnya juga dalam situasi ini, TNB hendaklah tampil mengemukakan laporan terbuka yang sepatutnya diketahui semua pihak termasuk anggota masyarakat berhubung apa yang berlaku.
Kalau TNB sendiri yang menyiasat, alamatnya al kisah ada kemungkinan di penghujung nanti semuanya akibat salah pekerja berkenaan. Paling tidak pun orang ramai akan berfikiran demikian.
Lebih baik jika Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air masuk campur dan melantik pihak ketiga untuk menyiasat secara telus apa yang berlaku sehingga nyawa 3 insan melayang seperti itu sahaja.
Tiba masanya Pak Menteri keluar kejap dari bilik berhawa dingin dan menampakkan kesungguhan dalam kejadian ini.
Tidak ada salah pihak kementerian masuk campur tangan secara lebih proaktif kerana seperti yang dinyatakan, ia melibatkan kehilangan 3 nyawa.
Untuk pengetahuan kementerian, ketika beberapa pekerja TNB ditemui pihak Mynewshub, rupanya wujud pelbagai kisah di kalangan mereka berhubung apa yang berlaku dalam kejadian 23 Februari itu.
Antara yang paling hangat diperkatakan ialah keengganan sebuah hospital swasta di Lembah Pantai menerima mangsa yang dibawa ke hospital berkenaan.
Mereka berkata, hospital berkenaan telah menolak untuk menerima mangsa ketika mula dibawa.
Entah benar atau tidak… ini adalah antara sebab mengapa pihak ke-3 dan campur tangan kementerian diperlukan agar siasatan rapi dan penuh dilakukan secara bebas.
Ia bagi memastikan jika benar hospital berkenaan bertindak demikian, maka ia harus ditutup sejajar dengan ketetapan Kabinet beberapa tahun lalu bahawa mana-mana hospital swasta yang tidak mahu menerima pesakit berdepan dengan risiko untuk ditamatkan operasi.
Ia juga penting bagi membersihkan nama baik hospital berkenaan di kalangan pekerja TNB andai perkara yang tersebar itu sebenarnya tidak betul dan fitnah.
Selain itu, kisah yang tersebar di kalangan pekerja ialah semasa kejadian, semua mangsa dibekalkan dengan baju kalis api voltan rendah sedangkan mereka melakukan kerja yang melibatkan aliran voltan tinggi.
“Pekerja dibekalkan dengan baju berwarna oren yang semua tahu tidak mampu kalis api,” kata seorang kakitangan.
Gambar yang diperoleh secara eksklusif oleh Mynewshub di bawah memperlihatkan baju oren yang dipakai para mangsa hangus terbakar pada hari kejadian.
Apakah ini sesuatu yang normal atau ada yang tidak kena dengan bahan keselamatan yang dibekalkan TNB?
Kalau diikutkan cakap-cakap di kalangan kakitangan TNB, mereka sangat tidak berpuas hati dan menyalahkan baju kalis api berkenaan sebagai antara punca kejadian malang itu menjadi lebih buruk daripada sepatutnya.
Banyak lagi perkara yang dipersoalkan para kakitangan TNB seperti punca penyebab letupan akibat shutter berkualiti rendah dan sebagainya tetapi penulis rasa elok ditamatkan di sini sahaja kerana mesej penulis ialah TNB dan Kementerian perlu melantik pihak yang bebas untuk menyiasat secara terperinci kejadian melibatkan kematian 3 pekerja berkenaan.
Tidak diketahui sama ada semua kisah yang diperkatakan itu dipengaruhi emosi atau benar, tetapi tanpa sebarang siasatan menyeluruh oleh pihak yang tidak berkepentingan, maka kebenaran mungkin akan hilang begitu sahaja.
Andai tidak benar pun, pihak TNB harus faham bahawa apa yang tersebar itu berakar umbi dari dara takut para pekerja terhadap keselamatan diri mereka selepas apa yang menimpa rakan mereka.
Justeru, perlulah TNB meninjau kembali SOP dan peralatan yang dibekalkan agar keselamatan pekerja akan lebih terjamin pada masa hadapan.
Dengan keuntungan suku pertama cecah RM2 bilion, kebajikan para pekerja seharusnya dipertingkatkan.
Mungkin ada di antara kita yang berlagak alim akan cakap benda nak jadi, jangan dipersoalkan. Betul benda nak jadi, tetapi sebagai ciptaan Tuhan yang dikurniakan akal, maka kita harus berfikir, bertanya dan bertindak jika kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Hari ini anak atau abang atau adik orang atau bapak yang kena…esok esok kena kat kita baru tahu….
KESEMUA GAMBAR-GAMBAR DI LAMAN MYNEWSHUB DIBEKALKAN KAKITANGAN TNB DAN MERUPAKAN GAMBAR HARI KEJADIAN.
0 Komentar untuk "Berita Tiga Pekerja TNB Maut"