KUALA LUMPUR – Bank-bank di Malaysia tidak bersikap `gentleman’ kerana tidak mempedulikan tentang rakyat negara ini dengan mengenakan caj enam peratus ke atas mereka yang menggunakan kemudahan MEPS bermula 1 April ini.


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, bank-bank di Malaysia tidak mempunyai pemikiran timbang rasa seperti bank-bank di Singapura yang menanggung kos enam peratus berkenaan.


“Bank Negara Malaysia (BNM) wajar meminta “kerjasama” pihak MEPS dan bank-bank berkaitan untuk bertimbang rasa agar tidak mengenakan caj enam peratus yang walaupun sedikit tetapi menjadi isu tambahan yang begitu “viral” dalam kalangan pengguna.


“ Kami berpendapat bank-bank di negara jiran seperti Singapura bersikap lebih “gentlemen” dan boleh menanggung kos ini sebagai menyokong merenggangkan “tekanan” kepada pengguna dan menyokong usaha kerajaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Nadzim berkata, MEPS yang berpuluh tahun memperolehi keuntungan berbillion ringgit boleh menganggap pengecualian caj enam peratus itu sebagai satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat.


Katanya, caj enam peratus ke atas pengguna MEPS itu sekadar menunjukkan dasar amalan “pukat harimau” oleh bank-bank di Malaysia kerana ikan bilis pun tidak akan terlepas daripada mata pukat mereka .


“Bank-bank dan juga syarikat yang telah mendapat manfaat puluhan tahun dengan keuntungan luar biasa seharusnya pandai mengambil hati pelanggan dan harus kelihatan bersama kerajaan dalam isu seperti ini,” tegasnya.