BAHAU – Dua sahabat maut apabila digilis sebuah lori tangki simen dalam kemalangan di Km1, Jalan Bahau-Juasseh berhampiran stesen minyak Petronas di sini, hari ini.


Dalam kejadian 3.45 petang itu, Abdul Hakeem Abd Manan dan Muhammad Noor Firdaus Ghazali, kedua-duanya berusia 25 tahun dari Batu Kikir, sedang dalam perjalanan ke Juasseh menaiki motosikal jenis Yamaha LC.


Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hamzah Alias berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berada di lorong kanan jalan raya dipercayai cuba mengelak kenderaan di hadapan yang secara tiba-tiba memperlahankan kelajuan.


“Mangsa kemudiannya mengelak ke kiri jalan iaitu di laluan lori tangki simen, namun terjatuh mengakibatkan kedua-dua mangsa digilis kenderaan berat itu.


“Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa diseret beberapa meter dari lokasi nahas dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya ketika dihubungi Bernama.


Hamzah berkata sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau membantu operasi mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang mengambil masa kira-kira 30 minit.


Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat. – BERNAMA