KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hanya isu kecil yang melibatkan satu syarikat yang sudah pun melalui proses penstrukturan semula, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Mohd Irwan mengulas soalan mengenai kemungkinan Fitch Ratings menurunkan penarafan negara, yang kini pada A-, disebabkan kedudukan kewangan 1MDB.
“Syarikat itu sudah pun melalui penstrukturan semula dan Ketua Audit Negara sedang melakukan pengauditan, dan kita perlu tunggu dan lihat keputusannya.
“Bagi pihak kerajaan, kami akan membantu proses penstrukturan 1MDB,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Keusahawanan 1ASEAN 2015 (1AES).
Semalam, Ketua Penyelidik MIDF Zulkifli Hamzah berkata unjuran negatif Fitch Ratings ke atas Malaysia bukan sesuatu yang baharu, dan tidak selari dengan agensi-agensi penarafan yang lain.
Moody’s Investors Service baru-baru ini mengesahkan penarafan penerbit dan bon kerajaan Malaysia pada A3, dengan unjuran positif. – BERNAMA
0 Komentar untuk "1MDB Hanya Isu Kecil Babitkan 1 Firma, Kata Mohd Irwan"