Sayu dan Sebak Menjelang 1 Ramadhan

“Dalam keadaan keluarga kami tak sabar untuk berpuasa, adik pula maut,” rintih Nabila Safie, 19, yang menggigil sebaik melihat mayat adiknya tersangkut di celah pengadang besi lebuh raya.


Adiknya terbabit dalam kemalangan ngeri yang turut mengorbankan seorang lagi penunggang motosikal, lewat petang kelmarin.



Nahas jam 6.05 petang di Kilometer 302.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang masih dalam pembinaan dekat Bandar Seri Bandi itu mengakibatkan adik Nabila, Muhamad Syafiq, 15, pelajar sebuah sekolah pondok dan buruh ladang sawit, Muhsan, 47, maut di lokasi kejadian.








Kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan bertembung menyebabkan Mohamad Syafiq tercampak dan tersangkut di celah pengadang lebuh raya, sementara motosikal jenis Yamaha LC ditunggangnya terseret sejauh 29 meter.



Muhsan yang berasal dari Lombok, Indonesia pula tersembam ke atas jalan dan cedera parah di muka serta kepala.



Ketika kejadian, Muhsan baru pulang dari bekerja di Ladang Ketengah Jaya dan menghala ke arah Kuantan.



Dia gagal mengelak dari bertembung dengan Mohamad Syafiq yang menunggang motosikal dari arah bertentangan bersama beberapa rakan lain.



Kemalangan turut menyebabkan motosikal Honda Wave yang ditunggang mangsa rosak teruk dan beberapa komponen motosikalnya hancur.



Nabila berkata, adiknya, anak ketiga daripada lima beradik, keluar bersama rakan-rakannya jam 2.30 petang selepas solat Jumaat.



“Semasa dia keluar rumah dan bawa motosikal ayah, saya rasa tak sedap hati. Dada berdebar-debar, tapi saya tak sangka musibah menimpa Syafiq.



“Sejak tiga hari kebelakangan ini dia gemar menyakat saya dan buatkan saya marah. Rupa-rupanya itulah gurauan akhir saya bersamanya,” katanya.



Nabila yang merupakan anak kedua berkata, adiknya belajar bidang Syariah di Madrasah As Sirotol Mustaqim (Pondok Al Mustaqim) Kampung Batu 4 dekat Binjai dan setiap minggu dia akan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Takal untuk menghabiskan cuti hujung minggu.



Sementara itu, Penyelia Ladang Ketengah Rakyat, Mohd Azam Abdullah berkata, Muhsan bekerja dengan pihak ladangnya sejak sembilan tahun lalu dan seorang pekerja yang rajin.



“Mangsa sudah berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak. Saya difahamkan sebelum kejadian, dia dalam perjalanan menuju ke rumah pekerja ladang. Memang setiap hari dia berulang-alik menggunakan laluan ini,” katanya.



Urusan penghantaran pulang jenazah mangsa ke Lombok akan diuruskan sepenuhnya pihak syarikat.



Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan kemalangan itu.



Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman untuk bedah siasat.



P/s : Berhati-hati dijalanraya...Takziah
0 Komentar untuk "Sayu dan Sebak Menjelang 1 Ramadhan"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info