Suarez dikatakan mendakwa terjatuh secara tidak sengaja ke atas lawannya, Giorgio Chiellini ketika insiden itu berlaku.
Menerusi sepucuk surat yang dikirimkan bintang Uruguay itu kepada Fifa, Suarez menjelaskan, beliau tidak berniat menggigit atau cuba menggigit pemain pertahanan Itali itu pada perlawanan Piala Dunia di Natal, Rabu lalu.
Surat Suarez untuk Fifa berbunyi: “Susulan impak itu, kedua-dua lutut saya berlanggar, saya hilang keseimbangan dan badan menjadi tidak stabil lalu terjatuh ke atas lawan. Ketika itu, muka saya terlanggar pemain itu, menyebabkan lebam kecil di pipi saya dan kesakitan yang kuat di bahagian gigi hingga memaksa pengadil menghentikan perlawanan. Inilah yang sebenarnya berlaku dan saya tidak pernah berniat, seperti yang tertulis dalam dokumen, ‘menggigit’ atau ‘cuba menggigit’.”
Ahli Jawatankuasa Disiplin Fifa memandang serius perbuatan itu dan mengenakan hukuman berat kepada Suarez dengan mengharamkannya terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan dan digantung sembilan perlawanan antarabangsa.
Alasan bertulis Fifa mengenai hukuman berkenaan dikeluarkan Sabtu dan dokumen itu juga memaklumkan penjelasan Suarez berhubung isu pelanggarannya dengan Chiellini.
Tindakan Suarez mempertahankan perbuatannya itu memberikan kesukaran kepada Liverpool yang terdesak menjual penyerang itu walaupun sedar pemain itu tidak boleh meminta yuran perpindahan £80 juta (RM437.7 juta) susulan insiden mengejutkan itu.
Uruguay menewaskan Itali 1-0 dan layak ke pusingan kedua namun tewas kepada Colombia awal pagi semalam.
Dakwaan Suarez yang beliau tidak bersalah adalah satu kesilapan besar. Jawatankuasa Disiplin Fifa mengatakan bintang bola sepak itu tidak menunjukkan sebarang penyesalan untuk tidak mengulangi perbuatan itu.
0 Komentar untuk "Gigit Chiellini Suarez Dakwa Terjatuh"