Zon Pencarian Baharu MH370 Diumum Akhir Bulan







SYDNEY – Australia akan mengumumkan zon pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang menjelang akhir bulan ini ketika pemetaan dasar laut Lautan Hindi bersambung.





Pesawat Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac lalu ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.





Biarpun usaha mencari dari udara dan laut secara besar-besaran dilakukan, tiada tanda-tanda berhubung pesawat itu ditemui.





Pencarian di dasar laut Lautan Hindi itu di mana isyarat akustik yang disangka dari kotak hitam pesawat berkenaan juga tidak membuahkan hasil.





Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia menyatakan analisis satelit dan data lain bagi menentukan kawasan pencarian untuk fasa pencarian dasar laut seterusnya akan siap tidak lama lagi.





“Kawasan pencarian akan dimuktamadkan sebelum akhir Jun selepas siapnya analisis menyeluruh oleh pelbagai pakar,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.





Usaha mencari itu menemui jalan buntu disebabkan kurangnya maklumat dan pakar merumuskan laluan penerbangan hanya berdasarkan isyarat ping antara pesawat dan satelit Inmarsat.


Ahli sains firma British itu menyatakan pencarian belum dilakukan di kawasan yang berkemungkinan besar pesawat itu berakhir di Lautan Hindi kerana diganggu isyarat akustik yang dikesan April lalu.





“Ia bukan lokasi yang tidak benar tetapi ia jauh ke timur laut kawasan yang berkemungkinan tinggi,” kata Chris Ashton semasa ditemubual dalam program Horizon BBC.





Namun JACC menyatakan kawasan di mana kapal Australia, Ocean Shield, menggunakan kapal selam mini untuk memeriksa dasar laut adalah “berdasarkan maklumat terbaik dan analisis yang ada pada masa itu” termasuk Inmarsat.





Sumber: AFP

sumber

0 Komentar untuk "Zon Pencarian Baharu MH370 Diumum Akhir Bulan"

ISUKINI.COM
Rated 5/5 based on 16518 reviews
 
Copyright © 2014-2015 Crito Loni - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info