Susulan insiden penemuan DNA babi di dalam dua sampel coklat keluaran Cadbury yang ditemui oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam ujian mereka kini mengundang reaksi bercampur-baur dalam kalangan pengguna.
Ia berikutan ujian seterusnya yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menunjukkn tiada DNA sedemikian dikesan di dalam ujian mereka.
Ia hasil dapatan Mynewshub.my yang melakukan tinjauan kepada orang ramai hari ini berkenaan isu itu.
Rata-rata mereka yang ditemui mengakui mereka kini berasa ragu-ragu dengan pensijilan halal yang dikeluarkan Jakim dan meminta kajian yang lebih menyeluruh ke atas isu itu dilakukan.
Seorang kakitangan awam Yasrul Izad Abu Bakar, 33, merupakan antara mereka yang mengakui kini was-was dengan pengesahan Jakim terhadap sesuatu makanan berkenaan.
“Saya yakin KKM dengan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk mengesan DNA bukannya sebarangan.. Yang saya tahu keputusan itu juga keluar hanya selepas tiga bulan penemuan dilakukan.
“Tiba-tiba Jakim buat keputusan seperti itu memang saya was-was sangatlah sebenarnya,” katanya kepada Mynewshub.my.
Beliau kini mengambil keputusan menghentikan terus pengambilan makanan yang didapati mempunyai unsur yang boleh dicurigakan serta was-was.
“Benda yang was-was saya rasa elok dielakkan, saya ambil langkah selamat,” katanya.
Bagi seorang peniaga Zulkefli Zamri, 43, beliau turut berasa ragu-ragu berkenaan pengesahan oleh Jakim kerana Jakim sendiri dilihat seperti tidak konsisten dengan pendirian mereka sendiri.
“Masa ujian dilakukan oleh KKM, ada DNA babi, kemudian Jakim lakukan ujian, tak ada DNA babi, sepatutnya Jakim mendahului KKM dalam isu ini, kenapa KKM pula dahulu daripada Jakim?” katanya.
Bagaimanapun, apabila ditanya langkah yang diambil beliau berkenaan isu itu, beliau berkata ia terpulang kepada pengguna sama ada mahu mengikut keputusan kerajaan atau sebaliknya.
“Terpulang pada pengguna sekarang, jika kerajaan kata “ok” rakyat pun mesti tiada masalah, jika kerajaan kata “tak ok” tidak jugalah pada rakyat.
“Kerajaan dah cakap ok sekarang, jadi makanlah,” katanya.
Bagi seorang pekerja restoran, Amiruddin Abdul Rahim, 26, pula, beliau beranggapan rakyat dan pengguna tidak perlu berasa was-was jika sesuatu isu berkaitan halal berkenaan telah diselesaikan dengan keputusan dari pihak Jakim.
“Siapa saya hendak pertikaikan Jakim, Kalau sudah Jakim kata halal saya rasa saya tidak perlu berasa was-was berkaitan perkara itu.
“Kalau sebelum ini, orang ada kata benda itu (coklat Cadbury) ada DNA babi dan ia jadi pertikaian.. Pada saya, benda pada awalnya kita tidak tahu dan pada saya ia tidak perlu dibangkitkan sangat.
“Bagi saya lagi, ada benda yang haram lebih dari itu orang sanggup buat, tidak ada pula sebarang tindakan, jadi jika Jakim sudah katakan ia halal saya rasa tak perlulah orang ramai untuk berasa was-was.” katanya.
KKM pada 24 Mei lepas KKM pada 24 Mei lalu mengesahkan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua produk coklat susu Cadbury Dairy Milk.
JAKIM pula pada 26 Mei berkata, keputusan rasmi berhubung status halal coklat Cadbury akan diumum sebaik keputusan analisis Jabatan Kimia diperolehi dalam tempoh tujuh hari.
Sementara itu, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 29 Mei mengesahkan bahawa hukum produk Cadbury yang disahkan halal sebelum didakwa mengandungi DNA babi adalah seperti hukum asalnya iaitu ‘halal dimakan’. – MYNEWSHUB.MY
Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS | Video : RIZA RAZAK
0 Komentar untuk "VIDEO : Halal Jakim – Orang Ramai Akui Sudah Curiga"