Kami mengambil serius terhadap penggunaan Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) (“Akta tersebut”) oleh pihak kerajaan dalam usaha membanteras komuniti warga jalanan dan “kepapaan” komuniti tersebut.
Akta tersebut telah digunapakai sebagai platform untuk pihak pegawai Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa untuk menangkap, reman dan menahan (sehingga tiga tahun) mana-mana rakyat Malaysia yang dianggap “papa”.
Bertentangan dengan apa yang dicerminkan oleh pihak media dan kerajaan, Akta tersebut sama sekali bukan suatu sistem penyelamatan. Ia memudahkan kepolisan, gangguan, dan pengusiran secara paksa warga jalanan dari ruang awam.
Ini melanggari hak dan kebebasan bergerak, perlindungan sama rata dan kebebasan kediri.
Akta tersebut membazirkan sumber awam ke atas aktiviti operasi seperti penangkapan, reman dan penahanan warga jalanan.
Sumber yang diboroskan itu adalah lebih bermanfaat sekiranya diperelokkannya bantuan konstruktif kepada masyarakat dari segi sosial dan ekonomi.
Sedarilah yang kehidupan jalanan dan kemiskinan tidak boleh dibanteras dan dikawal menerusi penangkapan, penahanan dan kepolisan.
Penahanan warga jalanan secara paksa di pusat kebajikan tentu tidak terukur dengan “keprihatinan” Akta tersebut yakni penyelamatan, pemulihan dan penjagaan dan langsung tidak sama sekali menyentuh pada akar penyebab masalah kehidupan jalanan ini.
Adalah tidak bermoral dan adil dari segi undang-undang apabila hak sivil warga jalanan dibantutkan melalui operasi-operasi penangkapan yang membuta-tuli.
Namun demikian, baru-baru ini KPWKM ada mengumumkan suatu pelan untuk meminda Akta tersebut untuk memastikan hukuman keras terhadap mereka yang didapati “mengemis”.
Kami ingin menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menjenayahkan kemiskinan.
Seperti kehidupan jalanan, “mengemis” adalah suatu simptom masalah sosial dan ekonomi yang lebih kompleks dan ia tidak boleh diatasi dengan menyukarkan lagi keadaan hidup warga jalanan.
Warga kehidupan jalanan yang kami lihat kini adalah suatu petanda bahawa keadaan sosial dan ekonomi negara ini tidak terjamin.
Masalah adalah dalam bentuk dan pelaksanaan skim-skim pekerjaan, pencen, perumahan, kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial.
Kerajaan harus melihat hubungan secara langsung faktor-faktor yang tersebut di atas dan mengambil pendekatan serius terhadap masalah ini.
Orang awam adalah berkepentingan terhadap suatu strategi jelas dari pihak kerajaan untuk mengurangkan masalah kehidupan jalanan dengan pemantauan yang berkesan serta pengambilan langkah-langkah untuk mengatasi masalah sosial dan ekonomi pada akar penyebabnya.
Agensi-agensi kerajaan, bukan sahaja KPWKM, harus melakukan kajian yang menyeluruh dan menggunakan maklumat dengan bijak ke arah pembangunan, kemajuan program sosial dan ekonomi dan polisi awam.
Kami menggesa supaya Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183) dimansuhkan dan satu polisi yang mengetengahkan keutamaan pada kesejahteraan dan penyertaan sosial dan ekonomi untuk semua di bangunkan.
Polisi dan program untuk mengatasi masalah kehidupan jalanan harus – tanpa – pengecualian – dibentuk berlandaskan kesamarataan, kesaksamaan, kebebasan, nilai maruah diri mengikut kehendak dan kepentingan semua rakyat negara.
Sumber: bm.selangorku.com
0 Komentar untuk "`Food Not Bombs-KL’ Bantah Pinda Akta Orang-Orang Papa"