NASKHAH The Other Woman tiada perkara baharu pun. Apa yang menjadikannya menarik kerana kemunculan Cameron Diaz berpadu berpadu lincah dengan Leslie Mann dan model terkenal, Kate Upton.
Meletakkan Cameron saja sudah cukup untuk menjual filem itu memandangkan jalan ceritanya masih boleh diklasifikasikan sebagai sebuah kitaran semula daripada filem-filem sebelum ini.
The Other Woman mengingatkan penulis kepada filem tahun 2006 lakonan Jesse Metcalfe, John Tucker Must Die, cuma serlahan karakter ketika itu cuma dalam kelompok pelajar universiti.
Sebaliknya, filem ini berkisar tentang kehidupan wanita yang sudah berkahwin, kelompok bekerjaya dan senario wanita yang terjerat dengan situasi sebagai perempuan simpanan kepada seorang lelaki kasanova.
Mudah bicaranya, filem ini boleh ditelah kesudahannya. Seorang wanita bercinta dengan lelaki yang akhirnya terbongkar identiti sebenar iaitu suami orang, kemudian si isteri pula dapat menghidu tembelang suami dan akhirnya berpakat untuk jatuhkan semula lelaki itu.
Resipi hampir sama turut digunakan dalam filem-filem seperti Bridesmaid, 9 to 5, The First Wives Club dan The Heat. Adakalanya filem arahan Nick Cassavetes ini mengingatkan penulis kepada naskhah Sex In The City.
Filem romantik komedi The Other Woman memperjuangkan tema raison d'etre iaitu keperluan dan sebab untuk pasangan sedang bercinta yang kemudiannya melencong kepada tujuan berbeza.
Ia mengisahkan Carly (Cameron Diaz) yang baru menjalinkan hubungan dengan Mark (Nikolaj Coster-Waldau) dan tidak semena-mena mengetahui identiti sebenar Mark yang sudah berkahwin.
Meskipun berdepan dengan keadaan yang tegang, isterinya, Kate (Leslie Mann) dan Carly berkongsi kesedihan dan kemarahan serupa sehingga menjadikan mereka teman rapat.
Tambah mengejutkan apabila Kate dan Carly mendapati Mark sedang menjalinkan hubungan dengan wanita lain dan memutuskan untuk menyiasat gerangan wanita ketiga itu sehingga menemukan mereka dengan Amber (Kate Upton).
Selepas beberapa insiden, Kate, Carly dan Amber berkomplot pula untuk memporak-perandakan kehidupan Mark sehingga jejaka itu jatuh tersungkur.
Sepanjang durasi 1 jam 50 minit, penonton dihiburkan dengan dialog bersahaja dan pastinya tidak kering gusi. Malah, input tambahan yang meyakinkan filem itu sebagai sebuah naskhah yang melucukan adalah kemunculan penyanyi popular, Nicki Minaj yang melakonkan watak pembantu Carly bernama Lydia.
Bagaimanapun, mungkin ada yang tidak berkenan dengan watak Cameron yang skeptikal sebagai wanita korporat dan adakalanya masih dibayangi dengan karakternya dalam filem Bad Teacher.
The Other Woman yang menjalani penggambaran sekitar penghujung tahun lalu itu turut menampilkan kekasih Lady Gaga yang popular dengan drama televisyen Chicago Fire, Taylor Kinney.
Sebagai sebuah filem komedi ringan, The Other Woman berjaya memenuhi selera penonton yang gemarkan filem yang mengangkat mesej feminisme dan pemerkasaan golongan wanita.- KHAIRUL AMRI HASSAN
0 Komentar untuk "Perempuan simpanan bergabung"