PELEKAT LULUS CERMIN GELAP
Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ, berulang kali melaksanakan operasi menyaman pemilik kenderaan bercermin gelap.
Menurut Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70% manakala cermin belakang dan tepi, telus cahaya tidak kurang 50%.
Jika pemilik kenderaan didapati melanggar kaedah itu, bagi kesalahan pertama, mereka boleh didenda RM500 atau dipenjarakan kurang 2 minggu. Pelaku kesalahan kali kedua, boleh didenda RM1,000 atau dipenjarakan kurang 2 bulan atau keduanya.
Mungkin pernah terlintas di fikiran kita sebagai pemilik kenderaan, siapakah sebenarnya individu berhak menggunakan cermin kenderaan gelap?
Berikut kenyataan saya petik daripada laman sesawang JPJ.
‘Pemasangan kaca gelap diberikan kepada orang-orang tertentu seperti di bawah kaedah 11(a) dan 11(b), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan khas untuk pemasangan cermin gelap’
Pada Oktober 2009, penulis menghubungi pegawai JPJ di Putrajaya dan bertanyakan soalan, siapakah ‘orang-orang tertentu’ dimaksudkan?
Menurut beliau, berikut senarai individu berhak menggunakan kenderaan bercermin gelap. Senarai di bawah, katanya dimuatkan di dalam buku Akta Pengangkutan Jalan.
1. DYMM Baginda Yang Dipertuan Agong
2. Sultan
3. Tengku Mahkota
4. Raja Muda
5. Hakim Mahkamah Tinggi
6. Panglima Tentera Darat
7. Ketua Polis Negara
8. Perdana Menteri
9. Pesakit kulit disahkan oleh doktor pakar hospital kerajaan
10. Individu keselamatan terancam dan permohonan menggunakan cermin gelap disokong oleh Ketua Polis Negeri
2. Sultan
3. Tengku Mahkota
4. Raja Muda
5. Hakim Mahkamah Tinggi
6. Panglima Tentera Darat
7. Ketua Polis Negara
8. Perdana Menteri
9. Pesakit kulit disahkan oleh doktor pakar hospital kerajaan
10. Individu keselamatan terancam dan permohonan menggunakan cermin gelap disokong oleh Ketua Polis Negeri
Merujuk senarai di atas, kenderaan Pengarah JPJ Negeri serta kakitangan, pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, dilarang menggunakan cermin gelap TANPA kebenaran Ketua Pengarah JPJ dan disokong oleh Menteri Pengangkutan Malaysia.
Kakitangan (Pusat Kenderaan Berkomputer) PUSPAKOM juga wajib mendapatkan kelulusan sekiranya ingin menggunakan cermin gelap.
Jika kenyataan di atas kurang tepat, sila JPJ perbetulkan agar rakyat Malaysia tidak terkeliru.
Hemat penulis, jika JPJ ingin menyaman kenderaan orang ramai bercermin gelap, agensi penguatkuasa kerajaan terbabit wajib menyelesaikan isu cermin gelap kenderaan impot, kini banyak dipandu di Malaysia.
Gambar Hiasan
MPV recon, Toyota Alphard, contoh terbaik. Cermin belakang dan sisi kenderaan dimpot dari Jepun itu sediakala gelap sewaktu dibawa masuk ke negara kita. Apakah kesudahan tindakan JPJ terhadap pemilik kenderaan itu?
Penulis menghubungi kenalan memiliki Toyota Alphard.
“Penjual menukar cermin gelap kenderaan kepada cermin 100% telus cahaya, cerah, sebelum dihantar ke PUSPAKOM untuk pemeriksaan. Selesai lulus pemeriksaan dan didaftarkan, penjual kemudian menukar kembali ke cermin gelap sebelum diserahkan kepada pembeli. Pembeli tidak diberikan pilihan untuk menggunakan cermin cerah. Dalam kes ini, pengguna teraniaya. Harga cermin cerah Alphard bukan murah untuk dibeli sendiri,” ujarnya.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye
Semalam, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan pihak bertindak terhadap premis menjual material menggelapkan cermin tidak menepati spesifikasi ditetapkan oleh JPJ. Bagi saya, itu tidak lebih daripada satu saranan berulang.
Beliau juga berkata, cermin gelap bukan satu satunya kaedah mengekang haba untuk keselesaan pengguna kerana terdapat pelbagai lagi produk kalis haba di pasarkan.
Lee barangkali terlupa, kenderaan MPV tidak memiliki ruang menyimpan barang tersorok seperti dimiliki oleh kereta sedan. Penggunaan cermin gelap mengurangkan risiko penjenayah melihat pelbagai barang diletakkan di bahagian belakang lalu menceroboh kenderaan terbabit.
Pertengahan bulan Jun, JPJ bakal melaksanakan operasi besar-besaran menyaman kenderaan bercermin gelap.
Terbaca status rakan di facebook, katanya lebih molek jika penguatkuasa JPJ membuat operasi awal di pintu masuk ke pejabat JPJ di setiap negeri, memeriksa setiap cermin kenderaan kakitangan agensi itu terlebih dahulu. Pastikan undang-undang diaplikasikan kepada pemandu awam, juga dipatuhi oleh pegawai serta anggota pihak berkuasa.
Operasi kemudian disusuli di beberapa lokasi lain seperti pintu masuk utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Ibu Pejabat Polis Daerah, Balai Polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Puspakom. Pastikan, tiada kakitangan penguatkuasa menggunakan cermin gelap tanpa kelulusan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad dan disokong oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hisahamuddin Hussein.
Periksa juga semua cermin kenderaan digunakan untuk menjalankan operasi. Jika tidak mendapat kelulusan bertulis, tentunya status kenderaan itu melanggar Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000.
JPJ usah lupa untuk memeriksa kenderaan orang kenamaan, seperti menteri, ahli parlimen, ketua jabatan, selain daripada individu disenaraikan berhak menggunakan cermin gelap. Kenderaan mewah dan berpemandu, bukan isyarat muktamad membuktikan cermin gelap kenderaan terbabit diluluskan. Ringkasnya, laksanakan undang-undang tanpa memilih bulu.
Jika tindakan itu tidak diimplementasikan, penulis berasa amat khuatir.
Kini orang ramai lazimnya memiliki telefon bimbit dilengkapi kamera. Jika mereka merakamkan gambar kenderaan pihak berkuasa bercermin gelap di jalanraya, pelbagai soalan bakal ditimbulkan. Spekulasi tercetus.
Adakah penggunaan cermin gelap itu diluluskan?
Cadangan penulis, wajar seandainya JPJ mengeluarkan pelekat khas, ditampal di cermin depan kenderaan diluluskan penggunaan cermin gelap, ‘LULUS CERMIN GELAP’. Tindakan itu pasti membantu orang ramai untuk melontarkan jauh tanggapan negatif, undang-undang hanya dilaksanakan di kalangan masyarakat marhaen sahaja.
Sekaligus, soalan berikut lebih mudah untuk dijawab.
“Mengapakah pihak berkuasa boleh menggunakan cermin gelap biarpun tanpa kelulusan sepatutnya, kami tidak?”
Penulis: Mazidulakmal
0 Komentar untuk "10 Individu Yang Berhak Menggunakan Cermin Gelap"